Search This Blog

Resident Evil Vendetta [Review]

Sejujurnya jika dibandingkan antara siri filem Resident Evil “live action” dengan siri filem Resident Evil CGI, kami lebih gemarkan versi CGI terutamanya kerana ia lebih mencerminkan jalan cerita dan watak-watak sebenar permainan video Resident Evil serta tidak terlalu tercemar dengan pengaruh Holywood sepertimana yang berlaku pada Residen Evil “live action”. Resident Evil Vendetta merupakan filem CGI terbaharu yang hype di media sosial kerana babak Leon Kennedy melawan zombie ala John Wick.

Resident Evil Vendetta

Resident Evil Vendetta [Review]

Resident Evil Vendetta mengisahkan Chris Redfield, agen BSAA yang ditugaskan menangkap penjenayah senjata bio bernama Glenn Arias yang telah merekacipta A-virus yang bukan sahaja menukarkan orang menjadi zombie, malah zombie ini boleh membezakan antara rakan dan musuh. Ini menjadikannya lebih mudah dijual sebagai satu senjata bio di pasaran gelap.

Untuk menangkap Glenn, Chris telah mendapat bantuan bekas anggota STARS Rebecca Chambers dan tidak lain tidak bukan Leon Kennedy. Dengan pasukan baharu ditubuhkan itu, mampukah mereka menghentikan niat jahat Glenn Arias untuk menggunakan virus itu sebagai senjata bio? Untuk mengetahui kesudahannya, tontonlah filem ini di pawagam GSC berhampiran (ia ditayangkan khas di GSC sahaja).

Jalan Cerita dan Lakonan Suara

Filem animasi CGI Resident Evil sememangnya sejak dahulu menghidangkan plot yang tidak terlalu teknikal dan memfokuskan kepada aksi dan animasi watak yang realistik. Filem Resident Evil Vendetta tidak terkecuali dari itu. Bezanya mungkin kali ini babak aksinya lebih mendebarkan dan menarik. Tidak dilupakan aksi Leon Kennedy melawan zombie gaya John Wick yang menjadikan filem ini viral di media sosial.

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak mengikuti jalan cerita filem animasi CGI Resident Evil, mereka mungkin kurang teruja dengan jalan cerita filem ini. Namun, bagi peminat tegar filem dan permainan video Resident Evil, filem ini sememangnya wajib ditonton. Apa yang pasti adalah filem ini tidak ada babak aksi yang terlalu tidak masuk akal seperti dalam filem “live action” Resident Evil. Ini menjadikannya lebih mudah diterima oleh mereka yang bukan peminat Resident Evil.

Lakonan suara dalam filem ini boleh dikatakan lebih baik dari filem-filem CGI sebelumnya. Ekspresi muka yang lebih natural dan dialog yang lebih mirip percakapan dunia nyata menambahkan lagi kepada realism filem ini. Walaubagaimanapun, terdapat juga babak-babak di mana percakapan watak-wataknya tidak selari dengan gerak mulut, atau gerak mulut watak tidak cukup mirip percakapan dunia sebenar. Tetapi itu hanyalah perkara kecil.

Positif vs Negatif

Positif

  • Animasi CGI yang baik sekali
  • Jalan cerita tidak terlalu berat
  • Aksi mendebarkan

Negatif

  • Bagi mereka yang bukan peminat Resident Evil, mungkin jalan ceritanya sedikit biasa sahaja.
  • Mungkin kerana CGI mengambil masa untuk dibikin, banyak babak kelihatan kosong (tiada “pelakon tambahan” di latarbelakang)

Kesimpulan

Resident Evil Vendetta merupakan antara filem CGI terbaik dalam siri animasi CGI Resident Evil. Bagi peminat siri filem animasi ini, ia semestinya sebuah filem wajib tonton bagi anda. Bagi mereka yang hanya menonton filem “live action” Resident Evil, mungkin tiba masanya anda berubah angin dan melihat perbezaan pemikiran Holywood dengan pemikiran Jepun dalam pembikinan filem Resident Evil. Ternyata filem ini lebih teratur dari segi poin-poin penting plotnya dan tidak terlalu berorentasikan aksi semata-mata. Kami merekomen anda menonton filem ini dan jika boleh, tontonlah filem-filem animas CGI Resident Evil sebelum ini untuk membuat penilaian lanjut mengenai perbandingan antara versi Holywood (live action) dan Jepun (CGI) bagi Resident Evil.

AMARAN: Jangan merakam sebarang gambar atau video di dalam pawagam. Penerbit filem Jepun sangat sensitif mengenai hal ini dan jika didapati berlaku, berkemungkinan Malaysia akan di”banned” dari tayangan filem akan datang.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

The post Resident Evil Vendetta [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2r3L5cX

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge [Review]

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge atau juga dikenali sebagai Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales merupakan filem terbaharu dalam francais Pirates of the Caribbean yang muncul di kala penonton sudah hampir melupakan francais yang telah berusia 14 tahun (filem pertama Pirates of the Caribbean Curse of the Black Pearl ditayangkan pada 2003). Namun apa pun, kami berpeluang menonton filem ini dan memberi kata dua mengenainya.

PIRATES OF THE CARIBBEAN SALAZARS REVENGE

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge [Review]

Pirates of the Caribbean Salazars Revenge memperkenalkan watak utama baharu iaitu Henry Turner, anak kepada Will Turner (Orlando Bloom). Henry merupakan seorang kelasi peringkat bawahan tentera laut British yang sejak kecilnya mencari cara untuk melepaskan bapanya dari sumpahan the Flying Dutchman di mana beliau disumpah untuk bekerja dalam kapal puaka tersebut selama-lamanya. Oleh sebab itu, Henry telah mempelajari semua jenis sumpahan di dalam dunia dan mendapat tahu cara untuk mematahkan sumpahan itu adalah dengan Trident of Poseidon. Untuk itu beliau harus mencari Kapten Jack Sparrow.

Suatu hari dalam usaha memusnahkan kapal lanun, kapalnya membuat kesilapan mengikut kapal tesebut ke dalam sebuah gua yang berpuaka yang dihuni oleh Kapten Salazar dan krunya, iaitu sebahagian dari tentera laut Sepanyol yang disumpah untuk berada di dalam gua tersebut tanpa peluang untuk melarikan diri. Henry mengetahui perkara ini dan meminta kaptennya untuk tidak memasuki gua tersebut, namun beliau dituduh berpaling tadah dan dikurung. Apabila memasuki gua tersebut, kapal Henry telah digempur dan semua anak kapal dan kaptennya mati kecuali beliau.

Rupa-rupanya Kapten Salazar ini hendak mencari Kapten Jack Sparrow untuk membalas dendam dan oleh kerana Henry mempunyai hajat untuk mencari Kapten Jack Sparrow untuk mencari Trident of Poseidon, Kapten Salazar melepaskannya untuk memberi mesej kepada Jack Sparrow. Pada masa yang sama seorang wanita yang bijak dalam astronomi bernama Carina Smyth juga ingin mencari Trident of Poseidon, malah hanya beliau sahaja yang boleh membaca peta untuk mencari pulau di mana ia berada. Beliau sedang melarikan diri dari pihak British kerana dituduh menjadi ahli sihir. Kerana mempunyai halatuju yang sama, ketiga-tiga mereka bekerjasama untuk mencari harta karun itu.

Pada masa yang sama, satu kesilapan bodoh yang dilakukan Kapten Jack Sparrow menyebabkan Kapten Salazar dan krunya terlepas dan mengejar Kapten Jack Sparrow. Apakah kesudahan filem ini? adakah mereka akan berjaya mencari Trident of Poseidon? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita Dan Lakonan

Secara keseluruhan, jalan cerita filem ini menghiburkan dan lucu. Pendek kata semua yang diharapkan dari sebuah filem Pirates of the Caribbean ada dalam filem ini. Malah babak pengenalan sudah padat dengan aksi dan lawak jenaka bersahaja dari Kapten Jack Sparrow dan krunya. Filem ini juga menerangkan sejarah Jack Sparrow dan Kapten Salazar, dan kita berpeluang melihat watak Jack Sparrow semasa beliau muda dan kenapa beliau sangat dihormati oleh puak lanun. Ini penting untuk ditonton.

Tambahan pula watak-watak baharu iaitu Henry Turner dan Carina Smyth mempunyai kaitan dengan watak-watak utama francais filem ini, seterusnya menjadikan filem ini lebih menarik untuk ditonton. Agak penting juga untuk peminat francais filem ini untuk menontonnya kerana nampaknya pembikinnya ingin membuat satu “jambatan antara generasi” watak-watak utamanya dan meletakkan asas untuk peranan watak-watak baharu itu dalam filem-filem akan datang. Jelas sekali pembikin francais ini ingin memanjangkan lagi jangkahayatnya dan membikin mungkin 2-3 lagi filem baharu selepas ini. Apa yang pasti, daripada babak tersembunyi di penghujung babak kredit membuktikan terdapat sekurang-kurangnya satu lagi sequel dalam francais ini, jadi pastikan anda menontonnya.

Kesan Khas

Kesan khas dalam filem Pirates of the Caribbean Salazars Revenge juga harus diberi pujian. Mereka menggunakan gabungan kesan khas sebenar dengan CGI. Sebagai contoh, babak aksi pembukaan di bandar di mana Kapten Jack Sparrow dan krunya merompak bank menggunakan kesan khas dan lagak ngeri sebenar, dan semuanya dibikin dengan baik. Manakala kebanyakkan babak-babak yang melibatkan kapal di laut dibikin menggunakan gabungan CGI dan lagak ngeri sebenar. Semuanya kesan khasnya kelihatan dibikin dengan begitu baik dan berkesan.

Positif vs Negatif

Positif

  • Pengolahan jalan cerita yang menarik, lucu dan penuh aksi
  • Watak baharu yang berkaitan dengan watak sebelumnya
  • Babak penting yang mengisahkan sejarah Kapten Jack Sparrow
  • Kesan khas, lagak ngeri dan CGI yang baik

Negatif

  • Sesetengah babak agak gelap dan sukar untuk melihat apa yang berlaku.
  • Dari struktur jalan cerita, ia agak sama dengan kebanyakan filem Pirates of the Caribbean

Kesimpulan

Kesimpulannya ada 3 sebab mengapa anda perlu menonton filem Pirates of the Caribbean Salazar Revenge. Pertama ia seperti menjadi jambatan antara generasi pertama watak utamanya dengan generasi seterusnya. Banyak perkara penting yang perlu ditonton dalam filem ini dan jika anda terlepas mungkin anda tidak akan memahami filem seterusnya. Kedua, satu atau dua filem dalam francais sebelum ini tidak begitu menarik sehingga kami pun tidak beriya-iya untuk menonton filem ini, tetapi nampaknya filem ini cukup menghiburkan dan dipenuhi isi penting menyebabkan kami lebih beriya untuk menontonnya. Ketiga, bila lagi nak tengok Kapten Jack Sparrow semasa muda melainkan dalam filem ini (anehnya suaranya semasa muda sama dengan sekarang. Jelas sekali suaranya menjalani proses dubbing).

Penilain: 7.5

IMDB

The post Pirates of the Caribbean Salazars Revenge [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2qWVEON

The Circle




Lakonan Emma Watson, juga seorang pelakon cantik dari Scotland iaitu Karen Gillan dan juga pelakon senior Tom Hanks.

Mengisahkan tentang insiden penyalahgunaan media sosial oleh sebuah syarikat yang dipanggil sebagai The Circle. 

The Circle pada awal filem dilihat sebagai syarikat yang menjalankan aktiviti seperti 'pengalaman pelanggan' (customer experience)  serta boleh dikatakan sebagai sebuah syarikat yang aktif menjalankan perniagaan mereka menggunakan media sosial secara sah.  
The Circle juga pada masa yang sama memperkenalkan produk terbaru mereka iaitu wireless camera yang berbentuk bulat, kristal serta bersaiz sedikit besar berbanding sebiji guli. 

Kelebihan kamera ini adalah ianya boleh diletakkan di mana-mana sahaja ruang atau sudut,  menjadikan ia sebagai sebuah super CCTV bagi memantau kawasan sekitar yang dilingkunginya.  Kamera ini juga bersambung secara langsung kepada satelit. 

Emma Watson sebagai Mae,  mempunyai seorang kawan rapat  di kejiranannya,  iaitu seorang pemuda bernama Mercer. Selepas mendapat panggilan temuduga oleh The Circle, Mae sangat teruja kerana dia telah mengimpikan untuk bekerja di syarikat ternama seperti itu sejak sekian lama. Mae kemudiannya meninggalkan syarikat pembekalan air tempat dia bekerja kerana dikatakan membayar gaji tidak setimpal. 

Mae lulus temuduga serta ditawarkan bekerja di The Circle.  Mercer dan ibu bapa Mae amat gembira dengan berita tersebut. 

Mae berjumpa dengan Annie di The Circle.  Annie adalah kenalan Mae dan memangku jawatan penting di The Circle.  Ibu bapa Mae juga mengenali Annie. Namun,  semasa Mae pulang bercuti.  Suatu insiden telah berlaku.  Semasa Mae menikmati makan tengahari bersama ibu dan bapanya,  bapa Mae yang menghidup stroke separuh badan tiba-tiba terkejut apabila Mae menceritakan pekerjaan yang dilakukannya di The Circle.  Bapa Mae kemudiannya meminta ibu Mae memapahnya untuk berehat serta menghalang Mae daripada membantunya. 

Mae amat kecewa dengan insiden yang berlaku.  Mae yang gemar aktiviti kayak,  telah berseorangan pergi berkayak di tempat yang biasa dilawatinya. Sampai di pertengahan tasik,  Mae meraung serta menangis sekuat hatinya.

Kembali ke kampus The Circle selepas seminggu bercuti, Mae bertemu Ty. Seorang lelaki yang bertanggungjawab membangunkan sebuah aplikasi yang dipanggil sebagai The TrueYou. Walaupun aplikasi ini pada awalnya dicipta untuk memberi manfaat, namun Ty tidak berpuas hati selepas mendapati aplikasi ini  mempunyai kelemahan apabila ia digunakan sebagai aplikasi rasmi The Circle. Ty kemudiannya memilih untuk menjadi seorang yang low profile di The Circle supaya tiada yang mengenalinya.

Suatu hari, Mae telah memuatnaik gambar lampu chandelier yang diperbuat daripada tanduk rusa. Chandelier tersebut dibuat oleh Mercer. Setelah ia dimuatnaik ke profil The Circle milik Mae, ramai yang ingin mengetahui siapakah yang menjadi pemburu rusa tersebut kerana perbuatan tersebut adalah salah dari sisi undang-undang. Oleh kerana profil Mae adalah diatur sebagai 'umum', maka ramai yang telah mengetahui mengenai pekerjaan Mercer tersebut dan menganggap Mercer patut dicari untuk dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, pengasas The Circle iaitu Eamon dan Tom telah memanggil semua staf the circle bagi memperkenalkan sistem terbaru yang dipanggil sebagai SeeChange. SeeChange membolehkan semua pergerakan dan perilaku manusia dapat dilihat tanpa batasan. True You dan SeeChange sebenarnya mempunyai peranan yang hampir sama, cuma True You lebih kepada suatu sistem yang merakam bentuk komunikasi. Ini termasuk komunikasi dalam talian yang dilakukan oleh ahli politik dan sebagainya. Ini membolehkan masyarakat lebih mempercayai ketelusan seseorang pemimpin tersebut apabila mereka mendengar perbualan sebenar ahli politik tersebut.

Tertekan dengan kejadian yang menimpa sahabat baik Mae iaitu Mercer, Mae telah pergi menyelinap ke kawasan tempat dia selalu menyewa kayak walaupun kawasan tersebut telah ditutup pada waktu malam hari. Akibat keadaan yang gelap, Mae tidak nampak sebuah kapal yang tiba-tiba membunyikan hon lalu melanggar kayak dinaiki Mae. Dalam masa yang sama, sebuah helikopter tiba di tempat kejadian bagi memberi bantuan kepada Mae yang terpaksa berpaut pada kayaknya yang terbalik.

Setibanya di The Circle, Eamon dan Tom menyoalsiasat tentang insiden yang berlaku. Mereka memberitahu Mae bahawa melalui SeeChange, mereka telah melihat Mae secara senyap-senyap menceroboh ke kawasan kayak pada waktu malam. Mereka juga bertanya kepada Mae jika sekiranya aplikasi SeeChange bermanfaat kerana Mae telah terselamat kerananya, walaupun ia sedikit sebanyak menyebabkan gangguan privasi. Mae bersetuju dengan pendapat Eamon dan Tom, dan sekaligus Mae dilantik sebagai model bagi memperkenalkan SeeChange tersebut kepada umum. Mae telah dipakaikan dengan kamera di sudut kiri bahunya dan dia sentiasa dipantau oleh ramai pengguna internet yang mengikuti perkembangannnya. Dia kini umpama selebriti di The Circle. Rumah Mae juga dilengkapi dengan teknologi the SeeChange.

Hubungan Mae dan Annie mengalami masalah semenjak Mae tidak lagi mempunyai privasi akibat kamera yang dipakaikan kepadanya tersebut. Annie berasa tertekan kerana hanya disebabkan insiden yang berlaku, Mae diangkat menjadi ikon kepada The Circle, mengatasi dirinya yang lebih senior . Juga kerana Annie tidak lagi merasa selamat berkawan dengan Mae yang sudah semestinya akan mengemaskini apa sahaja perkara atau perkongsian bersama rakan baiknya itu setiap waktu.

Mae kemudiannya dijemput ke mesyuarat di The Circle walaupun dia masih junior serta digelar sebagai 'the guppy' (gelaran kepada mereka yang masih baru di The Circle). Annie tidak gembira dengan keadaan itu kerana mesyuarat tersebut sepatutnya hanya dihadiri oleh pegawai-pegawai atasan The Circle. Mesyuarat dimulakan apabila Eamon memberitahu bahawa 50 buah negeri di U.S telah bersetuju menggunakan aplikasi baru yang akan dibangunkan oleh The Circle bagi membolehkan proses pengundian dilakukan secara atas talian. Mae kemudian mencadangkan agar semua warganegara dimestikan membuka akaun dengan The Circle. Pendapat Mae mendapat reaksi positif serta pujian daripada Eamon dan Tom. Sementara itu, Annie tidak bersetuju dengan pendapat Mae, lalu dia beredar daripada mesyuarat tersebut. Annie kemudiannya pulang ke tempat asalnya di Scotland.

Semenjak itu, Mae akan mengemaskini setiap apa jua yang berlaku kepadanya setiap hari, dengan cara menghantar live video kepada semua pengikutnya di atas talian. Bermula dari awal pagi semasa bangun tidur sehinggalah ke malam hari sebelum tidur. Mae akan dibanjiri oleh komen-komen daripada para pengikutnya, seakan aplikasi instagram yang digunakan di dunia nyata pada masa kini.
Mae juga mengemaskini apa yang berlaku dirumahnya. Semasa Mae sedang tercari-cari akan ibu dan bapanya melalui kamera yang diletakkan di setiap ruang rumahnya, Mae dengan tidak sengaja telah membuka kamera yang berada di bilik utama ibu dan bapanya yang kebetulan pada masa tersebut sedang melakukan hubungan intim. Mae berasa malu yang teramat sangat lalu dia terus mematikan  live video tersebut serta memohon maaf kepada pengikutnya.  Mae berjanji bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berlaku lagi, namun ia sudah terlewat kerana aib keluarganya telah terdedah.

Tidak lama selepas itu, Mae menghubungi ibu dan bapanya. Ibu dan bapa Mae memaafkan Mae dan memberitahunya bahawa sebahagian kamera SeeChange yang berada di dalam rumah tersebut telah dimatikan. Ibu dan bapa Mae tidak bersetuju dengan SeeChange tersebut yang terlalu mendedahkan privasi pengguna.

Suatu hari, Ty membawa Mae ke suatu tempat sulit di The Circle dan ia seperti sebuah terowong yang terletak di bahagian bawah tanah. Ty memberitahu rahsia kepada Mae bahawa tempat tersebut akan dijadikan tempat menyimpan segala data serta maklumat pengguna yang menggunakan aplikasi kepunyaan The Circle pada masa hadapan. Oleh kerana itu lah, Ty tidak bersetuju dengan tindakan The Circle tersebut yang menggunakan aplikasi the True You ciptaannya itu.

Beberapa hari kemudian, Mae dijemput untuk mengacara serta mempersembahkan teknologi terbaru The Circle iaitu SeeChange di atas pentas. Mae menerangkan bahawa teknologi SeeChange dapat mengesan sesiapa sahaja di seluruh dunia dalam masa yang singkat, dan tidak terlepas juga pesalah yang dikehendaki pihak berkuasa. Melalui sebuah skrin gergasi dihadapannya, Mae menunjukkan bagaimana seorang pesalah iaitu seorang ibu yang telah membunuh anaknya dan melarikan diri ke luar negara dapat dikesan melalui SeeChange. Sejurus selepas SeeChange diaktifkan, ramai pengguna teknologi SeeChange seluruh dunia dengan pantasnya mendapat maklumat tersebut dan dengan menggunakan sejenis software bagi mengesan wajah seseorang, ibu yang membunuh anaknya tersebut telah dirakam secara live melalui telefon bimbit seorang pengguna SeeChange sehingga dia tertangkap dalam masa kurang 20 minit selepas SeeChange diaktifkan.

Mae kemudiannya menanyakan kepada audiens akan siapakah yang mereka mahu untuk dikesan. Tanpa menunggu lama, hampir ke semua audiens dengan spontan meminta Mae untuk mengesan rakannya iaitu Mercer yang disyaki melakukan jenayah memburu tanduk rusa bagi membuat chandelier. Mae memberitahu agar rakannya itu dikecualikan daripada dikesan, namun audiens tetap juga mendesak. Akhirnya Eamon yang berada di sisi Mae sebagai moderator, meminta Mae menunaikan permintaan audiens tersebut. Dengan berat hati, Mae mengaktifkan SeeChange tersebut. Melalui skrin besar, Mercer pada waktu itu dikesan sedang mendiami sebuah kabin. Apabila menyedari dirinya diganggu oleh beberapa orang yang sedang merakam live video bagi memberitahu lokasi dirinya, Mercer berlari keluar dari kabin dan terus melarikan diri dengan kenderaan pickup nya. Setibanya di atas sebuah jambatan di atas sebuah jurang yang dalam, sebuah drone secara tiba-tiba memintas di hadapannya sehingga Mercer hilang kawalan. Mercer kemudian melanggar penghadang jambatan sehingga terjunam ke dalam jurang tersebut lalu terbunuh. Mae menjerit sekuat hati apabila melihat insiden yang menimpa sahabatnya itu.

Mae meninggalkan The Circle dan pulang ke rumahnya. Dia berkurung di bilik selama beberapa hari kerana mengalami kemurungan. Ibu Mae memberi dorongan kepada anak perempuannya itu serta menyatakan segala yang berlaku telah ditentukan dan bukan salahnya. Apabila semangat Mae telah pulih, dia keluar dari rumah untuk pergi semula ke The Circle. Ibu dan bapa Mae berasa terkejut dengan tindakannya itu kerana pada mereka, semua keburukan yang telah berlaku kepada Mae dan mereka adalah disebabkan The Circle. Namun Mae tetap meneruskan langkahnya sambil menyatakan bahawa perkara tersebut tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Semasa memandu, Mae mendapat panggilan telefon daripada Ty. Ty memberitahu bahawa dia mendapat suatu maklumat terbaru. Pada hari itu, Mae sekali lagi dijemput bagi mempersembahkan teknologi SeeChange di atas pentas. Pada kali ini, Mae secara spontan memberitahu bahawa semua dimestikan terlibat serta tidak terlepas atau melarikan diri dari SeeChange. Mae memanggil Tom yang seperti bersembunyi di belakang pentas lalu memasangkan kamera di kedua-dua bahu mereka iaitu Tom dan Eamon. Eamon terkejut dengan tindakan Mae tersebut lalu memberitahu rakannya itu bahawa mereka telah tertumpas oleh Mae. Tom tanpa membuang masa terus mematikan bekalan elektrik di auditorium tersebut. Namun segalanya telah terlewat apabila ke semua audiens mengangkat telefon bimbit masing-masing sehingga membentuk gabungan cahaya yang bersinar. Ke semua kegiatan serta kesalahan Eamon dan Tom ketika itu telah diketahui sambil diperhatikan Ty yang berasa tenteram di belakang pentas.

Semenjak kejadian itu, Mae telah melakukan aktiviti nya seperti biasa iaitu berkayak. Kali ini, dia ditemani drone-drone yang sentiasa membantunya mengemaskini setiap aktiviti hariannya. Dia sempat menghubungi Annie yang kini berada di Scotland dan hidupnya juga kini lebih aman dan juga tenteram.



King Arthur Legend of the Sword [Review]

Filem King Arthur Legend of the Sword bukanlah sebuah filem dalam pemerhatian kami dan kami tidaklah beriya-iya menontonnya, tetapi kami berpeluang menontonnya tempoh hari dan di sini kami bentangkan pendapat kami mengenainya.

King Arthur Legend of the Sword [Review]

Arthur Legend of the Sword merupakan satu olahan kisah lagenda King Arthur yang lebih memfokuskan kepada sejarah disebalik pedang Excalibur yang ditarik keluar Arthur dari batu dan juga sejarah disebalik keturunan Arthur. Kisahnya merangkumi sejarah keluarga Arthur dan bagaimana Arthur akhirnya menaiki takhta Camalot.

Filem ini menyelami secara mendalam siapakah sebenarnya Arthur, persekitaran di mana beliau dibesarkan dan bagaimana beliau berusaha menaiki takhta.

Untuk mengetahui kisah sepenuhnya, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran anda.

Jalan Cerita dan Lakonan

Dalam kisah-kisah King Arthur tipikal, biasanya ia menceritakan beliau seorang rakyat marhaen yang telah berjaya mengeluarkan pedang dari batu dan beliau terus menjadi Raja Calmelot.

Namun dalam versi ini, ia menceritakan kisah di sebalik bagaimana pedang tersebut boleh tersekat pada batu itu dan persekitaran negara England pada ketika itu yang ditadbir raja yang kejam. Arthur tidak terus menjadi raja selepas berjaya mengeluarkan pedang dari batu, sebaliknya perlu berusaha keras menentang raja jahat walaupun pada mulanya beliau tidak mahu terlibat langsung dalam perebutan takhta.

Dari segi ini jalan ceritanya lebih kreatif dan kelihatan berpotensi. Namun dari segi pengolahan cerita, kisahnya berlainan. Jalan ceritanya agak meleret-leret dan agak monotonous. Ia mengambil masa yang panjang untuk menerangkan satu poin. Namun, mujurlah pengarahnya, Guy Richie, merupakan pengarah sama dengan filem-filem Sherlock Holmes dan bijak mengolah filem ini bagi memberikannya vibe seperti filem Sherlock Holmes. Ini menjadikan babak-babaknya lebih menarik. Tetapi ini tidak menafikan bahawa jalan ceritanya meleret-leret. Tambahan pula babak aksinya juga tidak mempunyai sebarang perkara istimewa dan boleh dijangka.

Pendek kata tiada satu pun masa dalam filem ini di mana penonton berasa sangat teruja. Babak klimeksnya tidak begitu mengujakan dan pacing jalan ceritanya terlalu perlahan untuk menjadi sebuah filem yang mampu mengekalkan minat penonton.

Filem ini menampilkan ramai pelakon handalan, termasuk pelakon yang membintangi Game of Thrones, namun terdapat satu babak yang mengejutkan di mana babak itu memaparkan penampilan David Beckham sebagai salah seorang askar raja kejam. Ia memang mengujakan tetapi lakonannya kurang memberangsangkan (boleh diterima kerana beliau bukanlah pelakon professional).

Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini kurang menarik, walaupun terdapat babak-babak individu yang diolah dengan menarik.

Positif dan Negatif

Positif

  • Jalan cerita dipandang dari sudut yang unik.
  • Terdapat babak-babak individu yang diolah dengan menarik.

Negatif

  • Secara keseluruhan filem in kurang memberangsangkan dan hampir monotonous.
  • Babak-babak yang meleret-leret panjangnya.
  • Babak aksi yang tidak memberangsangkan

Kesimpulan

Kami memang menjangkakan filem King Arthur Legend of the Sword satu filem yang tidak menarik dan sebenarnya, walaupun pandangan kami sangat negatif mengenai filem ini, ia lebih menarik dari jangkaan kami. Sungguhpun demikian, kami tidak merekomen anda menonton filem ini jika ada filem yang lebih baik boleh ditonton.

King Arthur Legend of the Sword

Penilaian: 5/10

IMDB

The post King Arthur Legend of the Sword [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2rOQcfx

Sinopsis filem Whole Truth

BARISAN PELAKON UTAMA :

Keanu Reeves : Ramsey

Renee Zellweger : Loretta

Gugu Mbatha-Raw : Janelle

Gabriel Basso : Mike

Jim Belushi : Boone



Filem arahan Courtney Hunt ini berkisar mengenai suatu kes pembunuhan terhadap seorang lelaki bernama Boone yang juga merupakan seorang ayah kepada Mike dan suami kepada Loretta. Filem ini bertemakan suatu kisah yang seakan pernah terjadi di dalam dunia realiti. (kisah benar yang telah diubahsuai)

Di awal cerita, filem ini memaparkan dilemma yang dihadapi oleh Ramsey (Keanu Reeves) yang merupakan seorang attorney (peguam) kepada Loretta di mana anak Loretta yang bernama Mike tidak mahu bercakap walau sepatah pun perkataan dengan Ramsey semenjak prosiding berlangsung.

Kenyataan daripada Mike amat penting bagi membantu Ramsey untuk memenangi prosiding tersebut, namun keengganan Mike untuk bekerjasama menyebabkan Ramsey seperti menemui jalan buntu bagi membantu kes tersebut.

Dalam masa yang sama, seorang peguam muda bernama Janelle yang baru membina kerjayanya telah dipilih oleh Ramsey bagi membantunya di dalam kes tersebut. Janelle mempunyai kelemahan iaitu beliau merupakan seorang peguam yang mudah gementar apabila melakukan pembelaan terhadap tertuduh sepanjang prosiding kes pembunuhan tersebut berlangsung.

Ramsey harus meyakinkan juri bahawa Mike membunuh Boone (ayahnya) demi mempertahankan dirinya sendiri. Selain itu, setiap kali prosiding bersambung, Ramsey akan bercakap dengan Loretta di luar mahkamah dan juga menenangkan hati Loretta dengan memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya agar Mike dapat dibebaskan.

Suatu hari, Janelle mulai mengesyaki sesuatu yang tidak kena setelah melihat gelagat Loretta yang menghisap rokok di luar mahkamah, apabila prosiding selesai pada hari tersebut.

Collossal [Review]

Setelah menonton trailer Collossal tempoh hari, filem ini kelihatan seperti sebuah filem lucu yang lain dari yang lain. Tidak dapat dinafikan bahawa kenyataan itu benar selepas menontonnya. Namun, itu bukan kisah sepenuhnya. Ia lebih dari yang dijangkakan. Inilah pendapat kami mengenainya.

 Collossal [Review]

Filem Collossal mengisahkan Gloria yang mempunyai masalah ketagihan alkohol telah dihalau keluar dari rumah teman lelakinya. Oleh kerana beliau tidak mempunyai wang, beliau terpaksa balik ke kampung halamannya dan tinggal di rumah keluarganya yang kosong. Di sana beliau bertemu semula dengan kawannya bernama Oscar. Beliau berpura-pura baik, namun sebenarnya beliau cemburu dengan Gloria yang berjaya keluar dari kampung dan bekerja di bandar besar sementara beliau terpaksa tinggal di kampung menjalani hidup yang tidak bermakna.

Oscar menjalankan sebuah bar dan suatu hari mereka minum sehingga lewat malam. Akibat mabuk, Gloria telah tertidur di bangku taman permainan di rumahnya. Apabila bangun pada sekitar pukul 8 pagi apabila kanak-kanak pergi ke sekolah, beliau berjalan melalui taman permainan itu pulang ker rumah di mana beliau tidur semula.

Apabila beliau bangun dan menonton TV, beliau mendapati satu kejadian kemunculan raksasa telah berlaku di Seoul, Korea Selatan. Setelah beberapa kali menonton video raksasa di Seoul, beliau mula menyedari bahawa beliaulah yang mengawal raksasa tersebut dan apabila memeriksa semua waktu ia berlaku, beliau mendapati ia berlaku apabila beliau berada di taman permainan tersebut. Rupa-rupanya pada masa tertentu, sebahagain dari taman permainan itu akan berhubung dengan satu kawasan dalam Seoul di mana jika beliau berada di taman permainan itu, raksasa akan turut muncul di Seoul.

Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku dan bagaimanakah beliau akan menyelesaikan perkara tersebut.

Collossal

Jalan Cerita dan Lakonan

Pada mulanya kami menyangka filem ini merupakan sebuah komedi aksi. Namun, setelah menonton dengan lebih dekat, ia lebih kepada komedi romantik bercampur dengan drama dan sedikit aksi. Bahagian aksinya tidaklah banyak malah hanya kira-kira 10% dari filem ini.

Filem ini juga terbahagi kepada berbilang bahagian di mana bahagian pertama lebih kepada komedi romantik, kemudian saling bertukar antara komedi, aksi dan drama. Dengan kata lain, filem ini tidak mempunyai satu genre yang tetap, sebaliknya mempunyai genre yang pelbagai. Bagi mereka yang pertama kali menonton filem sebegini, menontonnya mungkin akan terasa sedikit mengelirukan.

Malah di pertengahan filem ini, semua isu kelihatan telah selesai dan penonton mengharapkan satu penamat kerana tidak nampak bagaimana untuk meneruskan jalan cerita filem ini. Tiba-tiba satu sudut pandang lain jalan ceritanya terbuka dan satu isu baharu muncul bagi meneruskan jalan ceritanya. Struktur jalan ceritanya sememangnya suatu yang jarang dilihat.

Sungguhpun demikian, transisi antara setiap bahagian jalan cerita dengan yang lain dilaksanakan dengan baik dan tidak sukar untuk memahami jalan ceritanya walaupun ia seolah-olah bertukar-tukar genre.

Lakonan dalam filem ini pula kurang memberangsangkan, malah agak menjengkelkan dalam beberapa babak.

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu struktur jalan cerita yang unik
  • Jalan cerita agak menarik

Negatif

  • Genre yang bertukar-tukar dan mengelirukan
  • Kesudahan yang agak simplistik.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, agak sukar bagi kami untuk mengatakan jika filem ini sebuah filem yang baik atau buruk. Namun, kami merasakan terdapat dua kemungkinan. Pertama, sesetengah dari anda akan mendapati filem ini sangat menarik dan unik. Kedua, sesetengah anda akan mengatakan filem ini filem yang gagal. Tiada pertengahan. Apa pun, jika ada filem lain yang ingin ditonton, tontolah filem tersebut dahulu dan jika anda ingin menonton sesuatu yang lain dari lain, bolehlah cuba menonton filem ini.

Penilain: 6/10

IMDB

 

The post Collossal [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2qzeoEi

Alien Covenant [Review]

Filem Prometheus menerima review yang tidak menentu, namun bagi kami filem itu OK dari segi peranannya dalam jalan cerita keseluruhan francais Aliens. Dengan bermulanya tayangan sequelnya, Alien Covenant , kita kini dapat mengetahui apakah yang sebenarnya terjadi selepas itu.

Alien Covenant

Alien Covenant [Review]

Alien Covenant berlangsung 10 tahun selepas kehilangan krew Prometheus (tahun 2104) di mana filem Alien Covenant  berkisah tentang satu koloni manusia yang mempunyai misi untuk menawan dan memulakan koloni manusia di sebuah planet yang telah ditetapkan. Namun kapal Covenant yang mereka naiki telah terkena suar solar dan mengalami kerosakan. Kapten asal kapal tersebut juga telah mati akibat insiden tersebut, jadi kapten baru telah dilantik, iaitu Oram. Beliau sedikit gementar dan tidak begitu yakin sebagai seorang kapten.

Alien Covenant

Semasa proses pembaikpulihan, mereka telah menerima satu mesej aneh berupa sebuah lagu klasik. Isyaratnya berasal dari sebuah planet yang mereka dapati pada zahirnya sangat sesuai untuk kehidupan manusia. Disebabkan itu, kapten Oram telah mengambil keputusan untuk mendarat di planet tersebut dan memerikasa samada ia sesuai untuk dijadikan koloni atau tidak.

Dalam ekspedisi tersebut, dua ahli pasukan mereka dijangkiti satu parasit yang tidak dikenali. Di situlah mimpi ngeri mereka bermula. Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.

Jalan Cerita dan Lakonan

Satu perkara yang jelas dalam filem ini adalah cara penceritaanya lebih baik berbanding filem Prometheus. Segala kisah mengenai apa yang berlaku kepada Dr. Elizabeth Shaw selepas kejadian dalam filem Prometheus diterangkan dengan jelas dan tanpa kekeliruan. Dari segi kami berpuas hati dengan filem ini.

Namun secara keseluruhannya, filem ini boleh dijangka, seolah-olah ia menggunakan template yang sama dengan semua filem Alien sebelum ini. Malah putaran plot (plot twist) di bahagian akhir filem ini juga boleh dijangka oleh penonton. Jadi, walaupun jalan ceritanya baik, ia boleh dijangka penonton, sekaligus menghilangkan sebarang wow factor filem ini dan satu kepuasan tidak dicapai selepas menonton filem ini.

Elok juga disebut bahawa filem Alien Covenant mempunyai babak-babak yang sangat kejam (seperti mana-mana filem dalam francais Alien), jadi ia tidak boleh ditonton oleh penonton di bawah 18 tahun. Pertama kali juga kami lihat watak wanita dibunuh kejam dalam sebuah filem Alien (biasanya watak lelaki sahaja dibunuh kejam). Namun banyak juga babak disunting keluar kerana teralalu kejam.

Produksi

Pujian juga harus diberi kepada pelakon Michael Fassbender yang memainkan dua watak pada masa yang sama iaitu sintetik bernama Walter dan juga David, watak sintetik dari Prometheus. Krew produksi juga harus diberi pujian dengan pembikinan babak yang memperlihatkan Walter dan David (kedua-duanya pelakon sama) dalam satu babak. Memaparkan dua watak yang dilakonkan pelakon sama bukanlah satu perkara yang sukar, namun terdapat satu babak dalam filem ini yang pergi lebih jauh. Ia memaparkan kedua-dua watak tersebut dilihat berinteraksi antara satu sama lain di mana David mengajar Walter bermain seruling. Ia memperlihatkan Walter meniup seruling dan pada masa yang sama David memainkan nota-nota lagu. Babak sebegini agak sukar dibikin dan dalam filem ini, ia dilakukan dengan baik dan menakjubkan.

Hala tuju jalan cerita francais filem Aliens juga diperlihatkan dengan lebih jelas dalam filem ini. Jelas sekali francais ini ingin membangkitkan soal hubungan “creator dan creation”. Pada mulanya Pemilik Weyland Industries ingin mencari pencipta manusia dan dalam filem Prometheus mendapati The Engineers adalah pencipta manusia, namun the engineers telah membunuh Weyland seolah-olah ciptaannya itu tidak bermakna langsung baginya.

Perasaan yang sama menyelubungi David di mana beliau merasakan manusia sebagai penciptanya tidak menghargainya dan beliau sendiri ingin menjadi pencipta. Itulah tema francais filem-filem Alien yang akan datang. Terdapat dua lagi sequel Alien akan dibikin dalam tahun-tahun akan datang.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan penceritaan yang menarik
  • Menyambung kisah Prometheus dengan baik sekali

Negatif

  • Jalan cerita dan plot twist boleh dijangka
  • Blood and gore yang banyak

Kesimpulan

Filem Alien Covenant mempunyai jalan cerita yang menarik, tetapi kebolehjangkaannya telah mengurangkan kepuasan menonton dengan banyak. Kami juga mendapati filem ini tidaklah seram seperti yang diwar-warkan. Mungkin kami telah lali dengan taktik filem-filem seperti ini menakutkan penontonnya. Namun, jika anda ingin mengikuti jalan cerita francais Alien akan datang, filem ini penting bagi melengkapkan jalan cerita itu. Dengan kata lain, jalan ceritanya bagus, namun pengolahannya yang boleh dijangka menyebabkan filem ini kurang memberi kepuasan. Kami merekomen anda menonton filem ini jika anda bercadang untuk menonton kesemua siri dalam francais Alien ini, jika anda tidak bercadang berbuat demikian, Fast and Furious 8 merupakan pilihan yang lebih baik.

Penilaian: 7.5/10

IMDB

 

The post Alien Covenant [Review] appeared first on WayangKini.



from WayangKini http://ift.tt/2pzjEnf